Aktiviti P&P


Cara Memegang dan Teknik Memainkan Alat Perkusi

1. Apakah yang boleh dicapai melalui pembelajaran Perkusi?

Pendengaran;
Dapat mengenalpasti rangkai lagu, imbangan bunyi, tekanan bunyi, bentuk irama seterusnya menjadi lebih sensitif kepada bunyi dan sentuhan bunyi.

Daya Ingatan;
Kanak-kanak dapat menyerap tema malah keseluruhan lagu melalui latihan muzikal.

Mata;
Mata boleh dilatih untuk membaca dengan lancar malah boleh lebih pantas dari sebutan.



2. Kemahiran Memainkan Alat Perkusi

Dalam permainan alat perkusi, murid-murid diberikan peluang belajar membaca skor perkusi yang terancang.

Mereka belajar :
a) Menunggu giliran mengikut skor.
b) Menyebut menepuk dan mengetuk bersama-sama.
c) Memainkan alat dan berhenti mengikut arahan.
d) Mula dan berhenti bersama-sama mengikut skor muzik.
e) Merasai situasi bermain seperti sebuah orkestra yang penuh dengan peraturan dan disiplin.
f) Cara yang betul untuk memegang dan memainkan alat-alat perkusi adalah penting bagi menghasilkan bunyi yang estetik. Murid perlu dilatih mengamalkan teknik memainkan alat-alat perkusi yang betul.

Kerincing

Rupa bentuk Kerincing lazimnya diperbuat daripada besi dan berbentuk segitiga. Pemegangnya merupakan seutas tali pendek yang diikat pada bucunya. Kerincing mempunyai sebatang besi pengetuk.

Apabila diketuk, ia menghasilkan bunyi lanjut yang nyaring. Pegang tali kerincing pada talinya sebelah tangan dan pemukulnya di tangan yang sebelah lagi. Pastikan tangan yang memegang tali kerincing tidak menyentuh kerincing.

Kerincing boleh dimainkan dengan cara mengetuk pada lingkaran segitiganya dengan pengetuk kerincing. Ketukan boleh dilakukan juga di sebelah luar kerincing atau dalam kerincing.



Loceng


Rupa bentuk Loceng merupakan segugusan loceng kecil yang dipasang pada bingkai. Bingkai berbentuk gelung diperbuat daripada plastik dan loceng-loceng logam kecil diikatkan pada bingkai tersebut. Loceng-loceng ini akan menghasilkan bunyi yang halus dan nyaring apabila digoncang.

Cara memegang dan memainkan loceng : 

Masukkan empat jari ke dalam gelong loceng dan genggam bahagian yang tidak berloceng. Loceng menghasilkan bunyi apabila ia digoncang.

Genggam pemegang loceng dengan tangan kiri @ kanan. Kemudian ketuk pergelangan tangan kiri dengan tangan kanan yang menggenggam loceng.



Tik Tok


Rupa bentuk Tik-tok lazimnya diperbuat daripada kayu. Ia mempunyai pemegang dan sebatang pengetuk. Tik-tok menghasilkan bunyi yang tidak lanjut. Bunyi yang dihasilkan daripada bahagian kanan tik-tok tidak sama dengan bunyi daripada bahagian kiri.

Cara memegang dan memainkan tik-tok : 

Pegang tik-tok dengan tangan kiri dan pengetuknya dengan tangan kanan.

Ketuk tik-tok pada bahagian kiri dan kanannya secara bergilir-gilir.



Tamborin


Tamborin merupakan sebuah gelung yang lazimnya diperbuat daripada kayu atau plastik. Di sekelilingnya terdapat ceper-ceper besi kecil yang menghasilkan bunyi apabila digoncang. Terdapat dua jenis tamborin iaitu tamborin berkulit dan tamborin tanpa kulit.

Lazimnya tamborin dimainkan dengan dua cara iaitu:

Pegang tamborin dengan tangan kanan dan goyangkan ke kiri dan ke kanan.

Pegang tamborin dengan tangan kiri @ kanan. Ketuk tepi tamborin atau kulit tamborin dengan hujung jari tangan kanan @ kiri.




1 comment:

  1. Info yang amat berguna... Terima kasih dan Tahniah..

    ReplyDelete